Artikel

Warga KL, Putrajaya, Labuan Kini Dibenarkan Berniaga Secara Bebas Selama 6 Bulan – Mulai 15 November Ini

Bermula 15 November ini, warga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kini dibenarkan menjalankan operasi perniagaan di mana-mana tempat dalam tiga wilayah tersebut selama 6 bulan akan datang.

Tindakan itu ditakrifkan sebagai dasar kawasan perdagangan bebas untuk penduduk tempatan.

Perlu pohon lesen penjaja sementara yang akan diluluskan secara automatik

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa – hanya penduduk, para peniaga dan penjaja rakyat Malaysia sahaja dibenarkan melakukan tindakan sedemikian.

Keputusan itu telah dipersetujui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya serta Labuan. Langkah ini sebagai suatu usaha untuk membantu rakyat negara menjana pendapatan tanpa sebarang kerunsingan.

Tempoh 6 bulan ini akan merangkumi tarikh 15 November sehingga 15 April, sebelum memasuki Ramadan pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, para peniaga dan penjaja tempatan dikehendaki memohon lesen penjaja sementara, yang akan diluluskan secara automatik sepanjang tempoh enam bulan ini.

Malah, bagi pihak yang terlibat – pemeriksaan akan dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan perjalanan lalu lintas tidak terganggu dari sebarang operasi jualan.

Selain itu, pemeriksaan tersebut juga turut memastikan penglibatan operasi itu hanya tertakluk kepada warganegara sahaja.