Artikel

Kemenangan Joe Biden Selaku Presiden AS, Beri Kelegaan Kepada China

Ternyata China kini mampu menarik nafas lega berhubung kemenangan Joe Biden mengatasi pengaruh Donald Trump, menjadi Presiden AS yang ke-46.

Untuk makluman, Parti Demokrat sebelum ini telah mengariskan beberapa tumpuan mereka, sekiranya kemenangan berpihak kepada Joe Biden.

Antaranya adalah memberi kelonggaran kepada China berikutan ketegangan perang perdagangan antara kedua-dua negara tersebut. Ini merangkumi perdebatan berkenaan tarif dan penempatan syarikat teknologi negara tembok besar itu di pasaran AS.

Sebelum ini, Biden telah menjanjikan pendekatan yang lebih global dapat dilakukan untuk mengatasi pengaruh syarikat teknologi China seperti Huawei Technologies dan pemilik TikTok ByteDance.

Beliau turut berpendapat langkah Trump mengenakan tuntutan amaun pada perjanjian peralihan aplikasi TikTok itu dilihat suatu tindakan yang salah.

Iaitu menggunakan isu kawalan data peribadi warga AS dengan mendapatkan perolehan kewangan dari China.

Malah antara fokus lain yang turut dijanjikan Parti Demokrat adalah meningkatkan cukai korporat sehingga 28%. Selain itu. sejumlah AS$2 trilion akan diperuntukan pada pembangunan infrastruktur dan tenaga lestari.

Usaha itu, secara tidak langsung bakal meningkatkan permintaan pasaran pada sektor lestari global.

Dua lagi peraturan yang turut menjadi tumpuan adalah penetapan peraturan teknologi dan kaedah atasi penularan COVID-19 akan dipertingkatkan, bagi memutuskan rantaian pandemik secara global.