Kerajaan seharusnya menawarkan insentif kepada para pekerja tempatan pada pembentangan Belanjawan 2021.
Saya mengharapkan Kerajaan Persekutuan menambahbaik Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada pembentangan Belanjawan 2021 secara inklusif, agresif dan proaktif .
Tindakan itu bagi mengekang kesan gelombang ketiga penularan pandemik COVID-19 terhadap industri dan guna tenaga Malaysia.
Pertama, cadangan orang ramai dan pihak tertentu behubung pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara terbuka dan rambang itu dilihat berisiko kepada perancangan persaraan.
Sebaliknya, pengeluaran Akaun 1boleh dibenarkan namun perlu melakukan bayaran secara ansuran selama tempoh 12 bulan. Manakala, pengeluaran Akaun 2 pula boleh dilanjutkan selama 6 bulan dan menumpukan hanya kepada kumpulan bersasar – seperti pekerja yang diberhentikan, diberi cuti tanpa gaji, mengalami pemotongan gaji secara mengejut atau pengurangan pendapatan melebihi 40%
Kedua, saya berpendapat Program Subsidi Upah Bekerja Sendiri perlu diperkenalkan kepada lebih 2 juta pekerja bebas, pekerja sementara dan pekerja sambilan dalam ekonomi gig iaitu ekonomi jangka pendek dengan bantuan pendapatan RM500 untuk tempoh 6 bulan sebagai tambahan kepada Program Subsidi Upah yang sedia ada – yang telah memberi manfaat sekitar 1.3 juta pekerja dengan jumlah agihan RM2.4 bilion.
Ini kerana, saya kira kelompok yang bekerja sendiri dan tidak bermajikan – kebiasannya tidak mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak Suruhajaya Syarikat Malaysia (SSM) dan PeBT untuk kelayakan Geran Khas Prihatin (GKP) berjumlah RM3,000 serta tidak mencarum KWSP dan Perkeso RM500 dan bantuan RM600.
Secara tidak langsung ia gagal melayakkan diri mereka untuk memenuhi kriteria bantuan tersebut. Antara yang terkesan seperti peniaga pasar, peniaga makanan dan minuman, peniaga kiosk, penjaja dan ramai lagi.
Untuk makluman, tujuan pendaftaran tersebut adalah untuk keperluan data pihakterlibat bagi penyaluran bantuan.
Ketiga, insentif Kerja Dari Rumah perlu diperkenalkan. Ia adalah langkah kepada lanjutan insentif Graduan Kerja, Wanita Kerja dan Watan Kerja di mana majikan yang ubah orientasi pekerjaan dari pejabat ke rumah diberikan insentif 10% dari gaji pekerja terhad kepada maksima RM500 seorang antara 6-12 bulan.
Keempat, saya merasakan pengambilan dan pembaharuan permit pekerja asing perlu diperketatkan. Penggantian pekerja tempata perlu dilakukan, khususnya pada sektor perkilangan, keselamatan dan perkhidmatan.
Terkini seramai 1,545,101 pekerja asing telah memegang PAs Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia.
Kelima, moratorium perumahan perlu dilanjutkan selama 3 bulan secara automatik atau pilihan 6 bulan secara bersasar. Malah saya turut mencadangkan penambahan pada kadar Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada RM1,000 isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,000 dan RM500 kepada pendapatan lebih RM4000.
Tindakan itu bagi memastikan aliran tunai negara sentiasa diteruskan dan pengurusan kewangan masyarakat kekal terjamin.
Itu sahaja cadangan yang boleh saya kongsikan pada pihak Kerajaan Persekutuan. Secara keseluruhannya, usul ini adalah untuk memberi gambaran berkenaan keperluan yang bermanfaat untuk rakyat Malaysia.
**Faizal Riduan adalah Pengurus Kanan Sumber Manusia dan juga penulis bebas. Ini adalah tinta beliau berkenaan pendapat cadangan berhubung pembentangan Belanjawan 2021 kelak. Ini adalah pendapat peribadi beliau, tidak mewakili pandangan editorial Rnggt.