Microsoft hari ini telah mengumumkan penyata kewangan untuk suku tahun terkini, sekaligus memperlihatkan Microsoft Teams kini mempunyai lebih 115 juta pengguna aktif setiap hari.
Untuk makluman, Microsoft Teams merupakan perkhidmatan yang ditujukan dalam memudahkan komunikasi dalam pejabat. Ketika era Perintah Kawalan Pergerakan kini, perkhidmatan seperti Microsoft Teams, Zoom dan sebagainya menerima permintaan tinggi – tidak kira untuk kekal berhubung antara rakan-rakan, untuk bermesyuarat, mahupun untuk tujuan pendidikan.
Apa pun, secara tidak langsung, Microsoft Teams ini juga turut bersaing dengan satu lagi produk yang dimiliki oleh Microsoft, iaitu Skype.
Microsoft sebelum ini telah membeli Skype pada tahun 2011 yang lepas. Sejak daripadanya, beberapa perubahan telah dilakukan, termasuk Skype menggantikan perkhidmatan Windows Live, serta menjadi salah satu medium komunikasi ramai melaluinya.
Jikalau dibandingkan, Skype dilihat mempunyai sekitar 40 juta pengguna aktif harian – yang mana agak jauh jikalau dibandingkan dengan pesaing lain.
Malah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan sendiri, ramai yang jarang memilih Skype untuk tujuan telesidang, sebaliknya lebih memilih perkhidmatan seperti Zoom, Microsoft Teams ataupun Google Meet.
Ia tidak diketahui kenapakah Skype sendiri gagal menarik perhatian ramai. Kita juga tidak boleh salahkan Microsoft sepenuhnya untuk hal ini. Mereka sendiri telah mengintegrasikan Skype ke dalam Windows 10 dengan lebih menyeluruh, termasuk mengaksesnya melalui Windows Tray, disamping pada masa yang sama memperkenalkan kebolehan untuk menerima panggilan tanpa memerlukan akaun berdaftar.
Apa pun, mungkin apabila Microsoft memperkenalkan Microsoft Teams pada 2016 yang lepas, Skype sendiri seperti telah diketepikan – apatah lagi Microsoft Teams turut digunakan untuk komunikasi dalaman syarikat. Pada era panggilan video dan telesidang menjadi fokus ramai, ia agak menyedihkan apabila melihat Skype tertinggal dibelakang – dan diterajui oleh beberapa perkhidmatan alternatif yang lain.
Ia tidak diketahui lagi sama ada Microsoft kelak akan memilih untuk mematikan Skype dalam beberapa tahun lagi atau tidak. Tetapi, sekiranya ia dimatikan, maka ia adalah suatu kerugian yang besar, apatah lagi Skype merupakan antara pengambil-alihan terbesar Microsoft, selain LinkedIn dan Nokia, selain sebuah jenama yang dikenali ramai diseluruh dunia.