Para peniaga seharusnya diberi pengurangan kadar cukai pendapatan pada pembentangan Belanjawan 2021 kelak.
Untuk makluman, undang-undang negara telah menetapkan perniagaan dan individu wajib mengisytiharkan penyata cukai pendapatan secara tahunan untuk menentukan sama ada mereka perlu membayar cukai atau layak menerima rebat cukai.
Cukai pendapatan ini adalah sumber dana utama kerajaan untuk melaksanakan sebarang aktiviti dan khidmat kepada rakyat.
Berdasarkan laporan firma audit Ernst & Young (EY), sektor peruncitan seharusnya diberi pengurangan tersebut. Ini kerana untuk separuh tahun pertama 2020, telah memperlihatkan penurunan yang drastik rentetan penularan pandemik COVID-19.
Penguncupan 20% pada sektor ini jelas memberi kesan yang mendalam kepada aliran pertumbuhan negara dan rakyat tempatan.
Oleh itu, menerusi fasa pemulihan pada separuh tahun kedua 2020 ini, antara langkah rangsangan tambahan yang wajar diusulkan pada Belanjawan 2021 kelak adalah menurunkan kadar cukai pendapatan atau melanjutkan kadar KWSP pekerja yang lebih rendah iaitu 7%.
Meskipun kerajaan telah melanjutkan moratorium pada kumpulan bersasar, program subsidi upah dan pemberian bantuan prihatin kepada para peniaga – namun sesetengah perniagaan masih lagi berpaksikan kepada kehadiran pelancong.
Susulan itu, cadangan mengurangkan kadar cukai pendapatan ini dilihat bertepatan dengan tanggungan yang terpaksa dilakukan oleh para peruncit – seperti gaji, sewa serta faedah pinjaman.