Minggu ini mungkin kita boleh takrifkan sebagai Minggu Salahkan Rakyat – ini kerana beberapa ahli politik mula melontarkan pendapat bahawa punca bebanan ketika ini adalah dari rakyat negara sendiri.
Adakah wajar tindakan itu? Pastinya tidak.
66 hari sebelum tibanya tahun 2021, penulis berpendapat kenyataan itu tidak akan membantu mana-mana pihak, bahkan merumitkan lagi keadaan semasa.
Suka untuk penulis ingatkan, kumpulan yang paling terkesan ketika ini adalah rakyat negara – lebih 710,000 individu sedang menganggur, lebih 47% rakyat negara sedang menanggung bebanan hutang yang besar dan lebih 88% rakyat negara tidak memiliki simpanan yang memadai untuk menampung kesukaran pandemik ketika ini. Malah paling menyedihkan lebih 11,000 rakyat negara sedang mengalami masalah kesihatan mental.
Jadi secara logiknya, tindakan untuk menunding jari kepada rakyat berhubung kegagalan mengikuti arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu adalah tuduhan yang tidak berasas.
Seharusnya, selaku ahli politik – hentikan menunding jari kepada rakyat negara. Perbaiki kelemahan fungsi yang sedia ada pada pimpinan anda. Menerusi pemberitahuan makluman yang jelas dan pelaksanaan tugas yang mantap, penulis pasti tiada pihak yang berani melanggar garis panduan ataupun meningkatkan lagi kadar jangkitan COVID-19. Oleh itu, ayuh kita tamatkan tindakan itu.
Bercerita tentang ekonomi negara pula, sudah pasti pembentangan Belanjawan 2021 antara agenda yang wajar diberikan perhatian. Ini kerana kepentingan belanjawan tersebut dilihat dapat menentukan hala tuju dan kedudukan pertumbuhan ekonomi negara.
Melalui medium belanjawan – ia bukan sekadar menentukan hala tuju peruntukan negara pada 2021, malah turut dapat menentukan pengukuhan keyakinan para pelabur dan pemain industri negara.
Sekiranya pembentangan Belanjawan 2021 dapat mengembalikan dan meningkatkan semula keyakinan para pelabur – itu adalah petanda yang baik buat infrastruktur dan pembangunan peluang pekerjaan baharu kepada negara.
Ia bukan sekadar menyelesaikan masalah kadar pengangguran tetapi turut mempertingkatkan pembangunan sektor ekonomi negara. Itu bermakna aliran tunai negara juga akan semakin meningkat. Menarik bukan?
Berbalik kepada tajuk artikel ini – Penulis berharap tiada lagi pihak menggunakan rakyat sebagai benteng kesalahan mereka. Tindakan itu, seolah-olah menunjukkan rakyat yang memiliki kuasa dalam mengawal segala sentimen di negara ini. Sedangkan sebaliknya yang berlaku. Rakyat hanya mampu memberi kepercayaan dan mematuhi arahan yang digariskan sahaja.
Jika perkara itu rakyat masih gagal laksanakan – sudah pasti terdapatnya ketidakjelasan yang sedang berlaku. Bantu rakyat mengatasinya, bukan menunding jari kepada mereka.