Artikel

Menuju 2021: Adakah Tindakan Darurat Ini Baik Untuk Ekonomi Malaysia?

70 hari sebelum menjelangnya tahun 2021, kini terdapatnya ura-ura mengatakan kerajaan dalam proses mengisytiharkan ‘darurat ekonomi’ buat negara.

Kenyataan ini dilihat telah tular sejak pagi tadi – di mana Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan mesyuarat khas Kabinet di Putra Perdana hari ini.

Terdapat pihak mengatakan mesyuarat tersebut sedang membincangkan isu berkenaan kesihatan semasa dan pembentangan Belanjawan 2021 tidak lama lagi. Ia telah diperdebatkan berikutan peningkatan kes COVID-19, mampu melumpuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Paling menarik, ada pihak mengatakan tindakan itu bakal membawa kepada pengumuman darurat negara.

Bercerita tentang pengisytiharan darurat, ini bukanlah kali pertama negara mengumumkan tindakan tersebut. Namun kali terakhir ia pernah dilakukan pada tahun 2014, di negeri Kelantan – tindakan itu kerana bencana banjir teruk telah melanda rakyat Malaysia – sehingga menyebabkan kerugian kerosakan yang tinggi.

Berbeza pula dengan spekulasi pengisytiharan darurat kali ini, ia dilihat lebih tertumpu kepada ekonomi dan pentadbiran negara.

Secara sahnya, tindakan pengumuman darurat ini dapat dilakukan oleh budi bicara Yang di-Pertuan Agong merujuk Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, untuk mengantungkan pembubaran parlimen bagi menjamin keselamatan, ekonomi dan kesejateraan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, pindaan telah dilakukan pada 1993 oleh Tun Dr. Mahathir, di mana Perdana Menteri Malaysia berhak menasihati Agong berkenaan konflik yang sedang berlaku dalam negara.

Namun, berdasarkan spekulasi hari ini – tindakan itu dilihat bersifat politik, kerana ini adalah cubaan kerajaan untuk menggagalkan undian tidak percaya dilakukan dan tindakan itu dapat memberi kelebihan buat kerajaan mengendalikan stuktur pentadbiran tanpa gangguan politik pembangkang.

Penulis tidak pasti akan pengesahan spekulasi ini, namun sekiranya benar pengisytiharan darurat bakal dilakukan oleh kerajaan. Ia secara tidak langsung mampu mendatangkan panik, kerisauan yang melampau kepada seluruh masyarakat negara.

Sudah pasti kekacauan akan mulai berlaku.

Oleh itu, penjelasan yang ketara perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan tiada lagi percanggahan maklumat atau spekulasi yang tidak tepat pada fahaman rakyat Malaysia.