Quibi merupakan salah satu perkhidmatan penstriman baru yang telah dilancarkan pada tahun ini. Ia hadir dengan konsep baru – kemudahan menikmati kandungan bersiri atau filem dalam bentuk format video menegak, dan memfokuskan pengguna peranti mudah-alih sahaja.
Ia telah diterajui oleh nama besar seperti Jeffrey Katzenberg dari Disney dan DreamWroks, selain Meg Whitman dari HP. Untuk memulakan Quibi sendiri, mereka telah mengumpulkan dana sebanyak $1.75 bilion daripada para pelabur, dan telah memulakan operasi pada April 2020 lepas. Namun, kini selepas hanya 6 bulan, perkhidmatan berkenaan ditamatkan.
Melalui perkongsian pihak Quibi, mereka mengatakan terdapat dua faktor kenapa mereka gagal. Berkemungkinan kerana idea yang lemah untuk perkhidmatan penstriman, atau mungkin juga kerana masa pelancaran ketika penularan wabak Covid-19 yang mungkin tidak begitu baik.
Walaupun mungkin itu adalah antara sebab utama, terdapat juga beberapa sebab lain kenapa Quibi tidak begitu menyerlah.
Yang pertama, formatnya yang dikhususkan untuk telefon sahaja. Quibi menawarkan rancangan dengan rakaman berkualiti tinggi, tetapi hanya mengehadkan pengguna untuk menikmatinya melalui aplikasi di telefon pintar sahaja. Syarikat berkenaan sendiri mengambil sedikit masa, dan hanya hadir dengan penawaran untuk televisyen pintar selepas itu.
Disamping itu, had katalog rancangan juga membuatkan orang berkira-kira untuk ke perkhidmatan berkenaan. Jikalau dibandingkan dengan Netflix atau iFlix sebelum ini, ia telah sedia hadir dengan sejumlah katalog rancangan yang dilesenkan daripada pelbagai pihak terlebih dahulu sebelum memilih untuk menerbitkan rancangan mereka secara eksklusif. Ini sekaligus membolehkan pengguna melanggan perkhidmatan berkenaan untuk sejumlah katalog rancangan yang besar dan bukan hanya terhad untuk rancangan eksklusif sahaja.
Mungkin ini juga salah satu sebab kenapa Quibi gagal mendapatkan pelanggan berbayar selepas tempoh ujian percuma selama 90 hari. Mengikut desas-desus, hanya sekitar 8% pengguna sahaja yang memilih untuk kekal melanggan perkhidmatan berkenaan selepas tempoh ujian.
Faktor lain yang turut boleh dikatakan adalah berkaitan dengan pemasaran. Quibi walaupun memfokuskan kepada peranti mudah-alih, namun ia menyukarkan pengguna untuk merakamkan skrin dan bercerita berkenaan dengan siri berkenaan di laman sosial. Disamping itu, ia mungkin akan berjaya menarik pengguna sekiranya dapat sokongan daripada penerbit Youtube dan TikTok – yang kebiasaannya mempunyai peminat dan pengikut tersendiri. Kaedah ini digunakan oleh perkhidmatan penstriman Nebula – yang masih beroperasi sehingga hari ini dengan hanya menggunakan kandungan daripada penerbit Youtube.
Apa pun, kita tidak boleh mengatakan format video berbentuk sebegini tiada permintaan. TikTok, Instagram Stories, Snapchat dan sebagainya sedia memperlihatkan pengguna meminati kandungan dalam bentuk menegak, selain yang ringkas untuk dinikmati dalam tempoh yang pantas.
Mungkin Quibi kurang daripada pemasaran, mendapatkan kandungan, dan beberapa perkara lain. Mungkinkah kita akan melihat peganti Quibi hadir dalam masa setahun dua lagi yang berjaya dalam arena ini?