Artikel

Sekitar 55% Sahaja Peluang, Penyertaan Wanita Wujud Pada Sektor Ekonomi Malaysia

Penglibatan wanita pada sektor ekonomi Malaysia masih lagi menunjukkan perbezaan dengan hanya 55.2% berbanding 80.4% peluang serta penyertaan yang diberikan kepada lelaki.

Jurang gender ini secara tidak langsung memaparkan ketidaksaksamaan pada Indeks Jurang Gender Malaysia iaitu kiraan skor 0.711. Negara memerlukan skor 1.0 untuk menyeimbangkan jurang tersebut.

Berdasarkan Statistik Pemerkasaan Wanita  dalam Domain Terpilih oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) 2019 ini jelas menyatakan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita di Malaysia lebih rendah bebanding lelaki. Ini merangkumi peratusan peluang dan penyertaan kepada wanita.

Kenyataan itu bukan sekadar meliputi tenaga kerja yang memerlukan kudrat fizikal sahaja namun ia secara keseluruhan termasuklah bidang pekerjaan profesional.

Tahukah anda, bagi bidang profesional dan teknikal – penyertaan wanita hanya 44.3% sahaja berbanding lelaki 55.7%. Manakala bahagian pengubal undang-undang, pegawai kanan serta pengurusan juga telah memaparkan penyertaan yang lebih rendah bagi wanita. Hanya satu perempat penyertaan wanita yang dicatatkan.

Di mana hanya 24.7% sahaja penglibatan  wanita berbanding 75.3% penglibatan lelaki.

Melihat situasi ini agak menghairankan. Ianya kerana berdasarkan statistik graduan untuk pendidikan profesional – wanita mencatatkan peratusan 50.3% berbanding lelaki yang hanya 37.8%. Tetapi mengapa jurang gender menunjukkan sebaliknya?

Malah perbezaan anggaparan perolehan pendapatan juga turut menunjukkan perbezaan di mana secara puratanya wanita memperolehi RM35,508, sementara itu lelaki memperolehi sekitar RM38,088.

Data itu bermakna sekiranya lelaki menerima upah sekitar RM100, wanita pula sekadar menerima kadar upah RM93.20 sahaja.

Isu monopoli ini tidak hanya dapat dilihat pada sentimen ekonomi sahaja, tetapi turut dapat dilihat pada penguasaan politik. Pada Parlimen negara, wanita sekadar menguasai 14.4% kerusi sahaja.

Selain itu, bagi penguasaan wanita dalam jawatan Menteri pula sekadar 17.9% sahaja berbanding dengan lelaki 82.1%. Catatan ini sekaligus menunjukkan kepimpinan yang diterajui oleh lelaki jauh lebih tinggi berbanding wanita.

Meskipun jurang gender ini sebenarnya sudah menunjukkan peningkatan, namun berpandukan The Global Gender Gap 2018, Malaysia berada kedudukan 63 daripada 149 buah negara – berada di atas Singapura dengan skor 0.711.

Malaysia perlu membuka lebih banyak lagi peluang kepada wanita bagi meningkat jurang ketidaksaksamaan gender.