Artikel

Keperluan PKPD Di Selangor, KL Dan Putrajaya Perlu Dinilai Semula, Terdapat Risikonya – DS Ismail Sabri

Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 14 Oktober lalu ke atas Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur – tindakan itu telah memperolehi pelbagai maklum balas dari rakyat Malaysia.

Rata-rata pihak berpendapat kawasan PKPB seharusnya menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ini bagi meningkatkan lagi kawalan ke atas penularan COVID-19 di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, mengulas lanjut perihal itu – pada sidang media sebentar tadi Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri mengatakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini masih meneliti segala keperluan peralihan PKPB kepada PKPD.

Setakat ini pihaknya masih bersetuju pelaksanaaan PKPB sahaja.

Terdapat pelbagai risiko dan kesan yang perlu ditanggung oleh semua pihak khususnya rakyat Malaysia. Ini kerana, sekiranya PKPD dilaksanakan – sektor ekonomi akan mengalami kesan yang teruk dan individu yang memiliki perniagaan sendiri terpaksa menanggung kesan penutupan sementara tersebut.

Malah, DS Ismail Sabri juga menegaskan ada pihak yang menerima gaji harian dan ada pihak yang memiliki komitmen tinggi – jadi kesemua faktor itu perlu diteliti dengan baik.

Perbincangan bersama KKM dan kementerian juga akan dilakukan demi memastikan tindakan selanjutnya menepati keperluan kesemua pihak.

Semua pihak dinasihatkan untuk kekal menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan demi memutuskan rantaian COVID-19.