Artikel

Disebabkan COVID-19, MBO Menutup Sementara Sejumlah Pawagam

Tidak lama lagi, MBO Cinemas atau MCAT Box Office Sdn Bhd, syarikat panggung wayang ketiga terbesar di Malaysia dilaporkan bakal menutup operasinya susulan kemerosotan kewangan.

Berdasarkan laporan The Edge, tindakan proses pembubaran syarikat panggung wayang ini mungkin merangkumi penjualan aset syarikat bagi membayar kembali kadar hutang yang dimilikinya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MBO Cinemas Cheah Chun Wai mengatakan bahawa industri telah mengalami penurunan penjualan sebanyak 55% selama tiga bulan pertama pandemik COVID-19 dan tidak ada sebarang penjualan bagi tiga bulan berikutnya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah MBO Cinemas juga telah mengeluarkan kenyataan pada laman media sosialnya dengan menyatakan 17 dari 27 lokasinya diseluruh negara akan ditutup pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Bagaimanapun, rentetan daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) – salah satu cawangannya di Sabah dan lima cawangannya di Selangor serta Kuala Lumpur telahpun ditutup. Setakat ini tiada sebarang maklum balas dari pihak MBO Cinemas berhubung situasi tersebut.

Bercakap mengenai industri hiburan sendiri, ia mengalami cabaran yang tinggi disebabkan implementasi Perintah Kawalan Pergerakan. Bukan sahaja penjualan tiket berkurangan disebabkan implementasi penjarakkan fizikal dalam pawagam, tetapi juga mereka menghadapi cabaran untuk mendapatkan sejumlah filem baharu yang terpaksa ditangguhkan pengambaran – membuatkan tarikan ke pawagam berkurangan berbanding kebiasaan.