Artikel

Huawei Dalam Perbincangan Untuk Menjual Perniagaan Telefon Honor

Huawei pada tahun ini dilihat menghadapi cabaran tinggi dalam meneruskan operasi. Syarikat gergasi dari China berkenaan telah pun dikenakan halangan dagangan, sekaligus menyukarkan Huawei untuk mendapatkan komponen berkaitan dalam pengeluaran telefon pintar.

Selari dengannya, kini Huawei dilihat sedang melihat kepada beberapa kaedah lain dalam terus memastikan kelangsungan syarikat mereka. Terbaru, menurut laporan Reuters, Huawei diperkatakan ingin menjual perniagaan telefon Honor.

Honor merupakan sebuah sub-jenama dibawah Huawei, dan beroperasi bebas dengan penawaran telefon pintar, komputer riba, dan peranti berhubung. Ia telah ditubuhkan pada 2013 yang lepas sebagai perniagaan memfokuskan peranti pada harga bajet.

Huawei dikatakan sedang berbincang dengan Digital China, salah satu pengedar peranti di China untuk membeli perniagaan Honor. Selain itu, antara syarikat lain yang turut diperkatakan mungkin berpotensi adalah termasuk Xiaomi dan TCL.

Sekiranya benar Honor dijual, maka mereka tidak lagi akan tertakluk dibawah halangan dagangan, dan boleh mengeluarkan peranti seperti biasa, dan memasarkannya pada peringkat global bersama-sama Google Play Store.