Artikel

AirAsia Perolehi RM1 Bilion Pinjaman Danajamin – Laporan

Susulan krisis COVID-19, AirAsia Group Bhd kini telah dimaklumkan memperolehi pinjaman bernilai RM1 bilion.

Dana tersebut dijangka akan diperolehi pada bulan hadapan.

Menurut laporan Nikkei Asia – syarikat ini juga telah menerima pembiayaan dari sekumpulan bank tempatan di bawah Skim Jaminan Danajamin Prihatin (DPGS) bernilai RM50 bilion.

Pinjaman itu dikatakan dijamin sebanyak 80% oleh Kementerian Kewangan negara.

Untuk makluman, Danajamin Nasional Bhd adalah syarikat insurans jaminan kewangan pertama negara, menyediakan DPGS sebagai sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemudahan ini tersedia melalui semua Institusi kewangan sehingga 31 Disember 2020 atau sehingga dana tersebut digunakan sepenuhnya.

Selain perolehan dana tersebut, laporan mengatakan AirAsia juga dijangka akan memberhentikan sekitar 400 kakitangan pada bulan hadapan.

Spekulasi itu diperkukuhkan lagi menerusi kenyataan Tony Fernandes sebelum ini bahawa sebanyak 10% daripada 24,000 kakitangannya akan terkesan.