Artikel

Menuju 2021: Gara-Gara Ketidakpatuhan Sesetengah Individu, Kini Rakyat Malaysia Perlu Tempuhi PKPB

80 hari sebelum tibanya tahun 2021, hari ini kita dikejutkan dengan pengumuman Dato’ Seri Ismail Sabri, Menteri Kanan (Keselamatan) negara bahawa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilakukan pada 14 Oktober ini pada Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sehingga 27 Oktober ini.

Wah! Kenyataan ini sememangnya mengejutkan semua pihak. Ternyata ketenangan kerajaan selama ini dalam melaungkan “keadaan negara masih terkawal”, “usah panik” – rupanya membawa kepada pelaksanaan PKPB.

Inilah padahnya apabila penguatkuasaan kuarantin 14 hari tidak diwajibkan semula. Penulis kira ini antara faktor utama mengapa penularan virus COVID-19 terus berleluasa dalam kalangan rakyat Malaysia.

Apa yang menghairankan penulis adalah mengapa pada 6 Oktober lalu, dikala angka peningkatan kes positif telah mencecah 691 kes COVID-19, kerajaan tidak secara terus melakukan strategi dalam pelaksanaan PKPB? Mengapa hanya kini baru diumumkan? Apakah penjelasan kerajaan berhubung situasi ini?

Ya benar, pelaksanaan kawalan kali ini sekadar “bersyarat” sahaja namun tahukah kalian disebabkan penguatkuasaan ini, ia mampu meningkatkan lagi kadar kerunsingan rakyat Malaysia? Antara kekacauan yang akan berlaku adalah pembelian panik atau panic buying dalam kalangan masyarakat negara.

Sekiranya perkara itu tercetus lagi, sudah pasti penularan yang lebih besar akan terus berlaku. Bukan itu sahaja, perjalanan keluar masuk atau proses rentas negeri pada pengangkutan awam juga akan menjadi lebih rumit dan sesak. Setakat ini, pihak kerajaan masih lagi meneliti garis panduan berhubung situasi tersebut.

Namun, penulis menaruh harapan yang tinggi kepada pihak berkuatkuasa untuk membendung sebarang kekacauan tersebut dari berlaku.

Cukuplah, dengan tragedi yang pernah kita saksikan pada Mac lalu – di mana ramai rakyat Malaysia mulai panik dan bersesak tanpa memikirkan kesan penularan virus COVID-19 pada persekitaran mereka.

Seterusnya, pengurusan serta kebajikan petugas barisan hadapan perlu diutamakan dan diselaraskan dengan sebaik mungkin. Penulis pasti kelompok inilah yang paling terkesan dan bersedih akan situasi negara ketika ini.

Sudah banyak kekuatan tenaga dikerah bagi menangani penularan wabak sejak Mac lalu, dan masih ramai lagi sehingga kini yang tidak berhenti membantu rakyat Malaysia. Oleh itu, kerajaan seharusnya beri keutamaan kepada penyelarasan tenaga kerja barisan hadapan. Keseimbangan dan keprihatinan kerajaan dalam memudahkan tugas mereka amatlah dihargai.

Sehubungan itu, kerjasama dari semua pihak amatlah dihargai. Saranan ini bagi menghindarkan negara dari sebarang kekacauan yang lebih rumit. Penulis berharap semua pihak, merangkumi kerajaan, ahli politik, ahli profesional, serta rakyat biasa perlulah menjalankan tanggungjawab bersama.

Ini kerana di dalam isu COVID-19, tiada individu yang terkecuali dari terkena jangkitannya. Melainkan kita semua mencegah dengan mematuhi arahan KKM, MKN serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan penjarakkan sosial bagi memutuskan rantaian COVID-19.