Artikel

Komponen Belanjawan 2021, Mampu Tingkatkan Semula Kekuatan Ekonomi Malaysia – Tengku Zafrul

Belanjawan 2021 adalah platform yang sesuai untuk negara mempertimbangkan semula kaedah terbaik bagi perkembangan ekonomi Malaysia.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Zafrul pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2020 pada hari ini (12 Oktober) kaedah yang lebih lestari perlu dilakukan bagi membina semula ketahanan ekonomi negara.

Ini kerana, krisis COVID-19 bukan sekadar merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tetapi turut memperlahankan pembangunan serta peningkatan sosio ekonomi negara  ke peringkat yang lebih tinggi.

Antara tumpuan kerajaan pada ketika ini adalah memberi penekanan kepada penguncupan pendapatan, jurang perbezaan perolehan, dan penawaran peluang pekerjaan pada indsutri negara.

Tumpuan itu merangkumi 4 prinsip yang telah digariskan pada pembentangan Belanjawan 2021 kelak, iaitu kebajikan rakyat, pemacuan ekonomi, penerapan kelestarian dan peningkatan perkhidmatan awam pada digitalisasi serta data.

Malah pada persidangan tersebut negara turut disarankan menggunakan kelebihan sumber yang ada serta reputasi dalam sektor tertentu bagi meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi. Saranan tersebut merangkumi peralihan kepada ekonomi digital, pengeluaran produk halal serta pembangunan kewangan islam.

Ia dilihat sebagai peluang yang baik untuk negara dalam memulihkan semula ekonomi negara dikala pandemik sedang melanda Malaysia.