Setel merupakan salah satu dompet digital yang ditawarkan untuk pembelian petrol di stesen minyak Petronas seluruh negara. Selain hanya pembelian petrol, ia juga telah diperluaskan untuk pembelian barangan di Kedai Mesra yang seterusnya akan dihantar ke kenderaan anda.
Pada mulanya, Setel diperkenalkan dalam memudahkan pengguna melakukan urusan tanpa perlu ke kaunter di stesen minyak Petronas atau Kedai Mesra – dan melakukan segala urusan terus dalam kenderaan sahaja.
Apa pun, kini Setel turut diperluaskan untuk berfungsi sebagai sebuah dompet digital, dan digunakan untuk pembayaran secara fizikal di Kedai Mesra.
Buat masa ini, ciri ini masih pada peringkat ujian, dan ditawarkan di beberapa Kedai Mesra sahaja. Untuk menggunakannya, anda hanya perlu mengeluarkan peranti anda dengan aplikasi Setel, seterusnya memilih “Bayar”, dan juruwang di kaunter akan mengimbas peranti anda untuk menolak baki kredit di aplikasi Setel.