Artikel

Demi Menjamin Kelestarian Pertumbuhan, Kegiatan Ekonomi Klang Dibenarkan Beroperasi

Bagi memastikan kelestarian ekonomi setempat, kegiatan operasi dan industri di daerah Klang masih dibenarkan beroperasi seperti biasa walaupun iai telah diisytiharkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB).

Kenyataan Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengatakan keputusan itu diambil susulan mempertimbangkan kedudukan ekonomi ketika ini.

Untuk makluman Selangor menyumbang sekitar 24% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan 30% untuk sektor pembuatan negara, dan terdapat hampir 3.5 juta pekerja di Selangor yang merupakan 23.2% dari jumlah tenaga kerja di negara ini.

Klang adalah pusat perindustrian utama dan hab utama untuk pelabuhan kontena di Malaysia, dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada tahun 2019.

Meskipun kebenaran operasi itu masih diteruskan, setiap perniagaan dan industri perlulah mengikuti prosedur piawaian yang telah ditetapkan (SOP).

Sekiranya terdapat premis yang gagal melakukan sedemikian, perkara itu mampu memberi padah kepada ekonomi setempat.

Keputusan ini dipertimbangkan berasaskan kelangsungan pekerjaan serta pembangunan ekonomi pada daerah tersebut.