Artikel

Permohonan Visa Kini Dibuka Menerusi MyTravelPass – Jabatan Imigresen

Bermula hari ini (8 Oktober) semua rakyat Malaysia dan warga asing boleh melakukan permohonan visa, keluar masuk pada platform MyTravelPass di laman rasmi Jabatan Imigresen negara.

Kebenaran permohonan ini dilakukan bagi perjalanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedang dilakukan.

Menurut Jabatan Imigresen, tempoh proses kelulusan permohonan tersebut akan mengambil masa sekitar 5 hari waktu bekerja. Sekiranya individu terbabit perlu memasuki atau keluar negara pada hari kesepuluh, permohonan kebenaran visa perlulah dilakukan sebelum memasuki hari ke 5.

Antara kategori yang layak memohon adalah Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), Pas Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA), suami isteri warganegara Malaysia dan pasangan pemastautin tetap atau pas kediaman dan untuk permohonan visa yang digantung.

Selain itu, ini termasuklah kategori pas pembantu rumah asing dan pas lawatan kerja sementara dan permohonan oleh warga asing di bawah Rumah Kedua Malaysia (MM2H).

Bagi sebarang status kelulusan permohonan, Jabatan Imigresen akan memaklumkannya menerusi pautan emel. Untuk makluman, pembukaan permohonan akan dilaksanakan sehingga 31 Disember.

Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Imigresen mengatakan pihaknya akan mengkaji semula platform MyTravelPass ini setelah tempoh PKPP ini berakhir pada Disember kelak.

Untuk sebarang maklumat lanjut berhubung permohonan kebenaran tersebut, para pembaca boleh layari pada pautan MyTravelPass – Jabatan Imigresen ini.