Artikel

Facebook, Twitter Sekat Siaran Status Trump – Elak Percanggahan Maklumat COVID-19

Facebook dan Twitter kini telah bertindak memadam serta menyembunyikan siaran status media sosial Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung isu COVID-19.

Tindakan itu dilakukan susulan Presiden Trump membandingkan wabak selesema dengan virus COVID-19. Hasil status tersebut telah memperolehi sekitar 290,000 reaksi dari rakyat global, sebelum ia dipadamkan dari Facebook.

Seperti yang umum ketahui kedua-dua platform media sosial itu memiliki peraturan dan perundangan tertentu berhubung kesalahan dalam menyampaikan informasi kepada khalayak.

Menurut wakil Facebook, pihaknya memadam maklumat tersebut bagi mengelakkan sebarang percanggahan maklumat berhubung COVID-19 dilakukan secara berterusan. Perkara itu dilihat berpotensi mengelirukan pemahaman orang awam.

Selain ciapan dan status tersebut – Trump juga dikatakan telah memaparkan alamat e-mel seorang kolumnis untuk The New York Post, lapor Sky News Australia. Jurucakap Twitter mengatakan Trump melanggar peraturannya untuk tidak menyiarkan maklumat peribadi.

Untuk makluman, ini bukanlah kali pertama rangkaian media sosial ini bertindak sedemikian terhadap ahli politik berkaitan penyebaran maklumat COVID-19.

Pada bulan Ogos, Facebook dan Twitter menurunkan video yang disiarkan di akaun Trump kerana menyebarkan maklumat salah COVID-19. Sementara itu pada bulan Mac lalu, Twitter dan Facebook juga turut pernah memadam status oleh Presiden Brazil, Jair Bolsonaro – video ahli politik yang mempersoalkan langkah-langkah penjarakan fizikal dan kuarantin.