Artikel

Menuju 2021: Hentikan Seketika Isu Berpolitik, Utamakan Langkah Pencegahan COVID-19

86 hari sebelum tibanya tahun 2021, situasi negara dilihat seolah-olah tidak menentu.

Tatkala negara sedang runsing akan peningkatan kes harian COVID-19 yang kini mencecah paling tinggi sekitar 691 kes, ternyata ada pihak yang masih ingin berpolitik.

Kenyataan ini merujuk kepada keputusan dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Batu Sapi, Sabah dalam tempoh 60 hari bermula 5 Oktober lalu.

Tindakan tersebut adalah mengambilkira pemergian Datuk Liew Viu Keong disebabkan jangkitan paru-paru pada 2 Oktober lalu.

Penulis terkejut akan tindakan sedemikian, ini kerana kawasan Batu Sapi telah diklasifikasikan sebagai zon merah bagi penularan kes COVID-19. Apakah keperluan mengadakan PRK ketika ini? Apakah kepentingan yang diperolehi disebalik pelaksanaan tersebut?

Adakah tindakan ini berlandaskan kepada faktor kebajikan rakyat? Atau berpaksikan kepada kepentingan tertentu sahaja?

Ya benar, penulis sedia maklum – kenyataan Parlimen Malaysia berhubung tindakan pelaksanaan PRK itu adalah selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan – di mana negara perlu mengisi kekosongan luar jangka Kerusi Parlimen Kawasan P.185 Batu Sapi.

Akan tetapi, tidakkah penangguhan pelaksanaan tersebut boleh dilakukan? Atau adakah tindakan ini akan melanggar peraturan Perlembagaan Persekutuan negara?

Malah, rata-rata pembaca Rnggt turut meluahkan rasa kesal mereka berhubung makluman ini, ia kerana membabitkan jumlah penglibatan individu yang ramai untuk menjayakan PRK tersebut. Dan perkara inilah yang ingin dielakkan oleh rakyat negara.

Berdasarkan pemahaman penulis, pelaksanaan PRK tersebut adalah bagi mengukuhkan jumlah kedudukan kerusi yang dimiliki antara pembangkang dan kerajaan. Seperti yang umum ketahui penentuan jumlah majoriti kerusi ini penting untuk mengukur kekuatan peranan pemerintahan disesebuah kawasan.

Bagaimanapun, sekiranya parlimen masih kekal dengan pendirian pelaksanaan, penulis kira langkah penjagaan ketika PRK dijalankan perlulah lebih teratur dan diberi jaminan bahawa tiada sebarang penularan atau kluster baru yang tercetus.

Ataupun tindakan lebih baik adalah tampil dengan alternatif lain seperti melakukan undian secara bancian, sama ada pihak SPR turun padang mahupun undian secara atas talian.

Ini kerana penulis melihat situasi ketika ini bukanlah suatu keadaan yang tepat untuk negara berterusan bermain politik. Seharusnya keutamaan perlu difokuskan kepada tempoh pemulihan dan kaedah memutuskan rantaian COVID-19.