Artikel

Menuju 2021: Pengurusan IPT Perlu Lebih Peka, Jangan Biar Para Pelajar Terus Kebingungan

91 hari sebelum menjelangnya tahun 2021, pengurusan Insitut Pengajian Tinggi Awam atau Swasta (IPTA/IPTS) seharusnya lebih peka akan setiap keputusan yang mereka lakukan membabitkan para pelajar.

Fokus topik kali ini adalah tertumpu kepada situasi pandemik yang semakin meningkat angka kes positif COVID-19 di Malaysia.

Untuk makluman umum, bulan Oktober adalah bulan kemasukan pendaftaran pelajar bagi sesi baharu. Namun pada 1 Oktober 2020 (semalam) terdapatnya pengumuman beberapa Universiti Awam (UA) mengatakan penangguhan kemasukan sesi baharu terpaksa dilakukan.

Kenyataan ini telah diperkukuhkan oleh penyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara rasminya mengumumkan penangguhan kemasukan sesi baharu perlu dilakukan bagi kemasukan Oktober 2020.

Keputusan itu telah dilakukan berdasarkan peningkatan angka kes COVID-19 yang telah mencecah tiga angka dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seharusnya pihak pengurusan IPT yang terlibat perlu lebih peka akan catatan kes dikawasan pengajian mereka. Bukannya melulu mengikuti saranan KPT untuk meneruskan kemasukan sesi baharu ini.

Tindakan itu telah menimbulkan amarah dalam kalangan para pelajar pengajian tinggi. Ini kerana, rata-rata pelajar telah mula menempah tiket perjalanan mereka dan ada juga telahpun sampai di destinasi berdekatan dengan IPT.

Perkara itu menyebabkan pelajar bersama keluarga terpaksa menanggung kos kerugian perjalanan secara drastik.

Penulis melihat keadaan ini sesuatu yang tidak wajar dan tidak adil untuk dilalui oleh para pelajar. Semua pihak sudah ketahui angka penularan kes COVID-19 telah mula meningkat sejak 24 Julai 2020 lagi, dan peningkatan jtu berterusan meningkat sehingga ke hari ini.

Tindakan KPT pada kenyataan 24 September lalu mengatakan tiada sebarang penangguhan akan dilakukan termasuklah di negeri Sabah juga telah merumitkan lagi keadaan pengurusan IPT –  alasan mereka untuk mmebenarkan perjalanan tersebut dilakukan adalah kerana tidak menerima apa-apa arahan sekatan dari pihak atasan.

Tetapi mengapa tindakan penangguhan hanya dimaklumkan pada hari ini?

Adakah fungsi pengurusan IPT dalam penetapan kemasukan ini bergantung kepada arahan KPT dan kerajaan sahaja? Mengapa tiada sebarang petunjuk awal diberitahu kepada para pelajar ketika bulan Julai lagi?

Persoalan ini yang mengamit fikiran penulis ketika melihat situasi pada ketika ini.

Seharusnya perkongsian berhubung strategi membabitkan perjalanan para pelajar diberikan dari semasa ke semasa. Jika sekadar menyatakan garis panduan perjalanan, ia tidak memadai untuk pemahaman mereka. Penjelasan dan jaminan perlu diberikan keutamaan kepada para pelajar.

Bagaimanapun, tindakan pantas sesetengah IPT dalam memaklumkan penangguhan tersebut haruslah diberi pujian. Usaha itu jelas, masih ada pengurusan IPT yang peka akan kebajikan para pelajar.

Selain itu, tindakan KPT dalam berjaya melakukan rundingan bersama pihak penerbangan untuk menjadualkan semula tempahan penerbangan para pelajar juga haruslah dipuji.

Tetapi, bagaimana pula dengan para pelajar yang menggunakan pengangkutan persendirian? Apakah mereka juga boleh menebus pampasan kos perjalanan kepada KPT? Penulis kira perkara tersebut mustahil untuk dilakukan.

Oleh itu, meskipun pengurusan IPT dilihat sedikit terhad disebabkan arahan pihak atasan tetapi, penulis berharap tindakan selanjutnya dapat dimaklumkan dengan lebih jelas. Jangan biarkan para pelajar terus dibelenggu kebingungan disebabkan ketidaklancaran pengurusan kalian.

Setiap tindakan perlu dilakukan berdasarkan keprihatinan bersama.