Artikel

Menuju 2021: Inisiatif Mengurangkan Harga Barangan Bantu Rakyat Tingkatkan Aliran Tunai Negara

92 hari sebelum memasuki tahun 2021, negara seharusnya kini memberi tumpuan kepada kawalan penetapan harga barangan harian di Malaysia.

Penurunan harga barangan harian ini merangkumi barangan asas seperti masakan dan barangan mandian.

Tindakan ini adalah bagi membantu peningkatan aliran tunai negara, sekaligus turut membantu kumpulan B40 dalam menangani permasalah kewangan mereka berikutan kesan yang diterima disebabkan krisis COVID-19.

Semua pembaca perlu ingat, kumpulan B40 adalah kelas yang paling terkesan disebabkan krisis COVID-19 ini. Mengapa?

Ini kerana mereka adalah kumpulan yang terpaksa menerima hakikat diberhentikan pekerjaan tanpa notis, diberi cuti tanpa gaji, dan memiliki komitmen isi rumah yang tinggi.

Paling menyedihkan kumpulan ini tidak dapat menyuarakan hak mereka disebabkan kedudukan ekonomi negara yang tidak menentu.

Oleh itu, dengan cadangan penurunan harga barangan keperluan pada kadar 1% hingga 3% seharusnya ia dipertimbangkan oleh kerajaan. Cadangan itu tidak hanya tertumpu kepada kelas B40 sahaja namun merangkumi seluruh hak rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi ekonomi sukar ketika ini.

Tahukah anda, pada tinjauan 2018 Khazanah Research Institute (KRI) – sekitar 95% rakyat negara yang memiliki pendapatan di bawah RM2,000 telah membelanjakan pendapatan mereka secara menyeluruh hanya untuk memenuhi keperluan asas harian sahaja.

Sedih bukan?

Tetapi itulah kenyataan yang sedang dialami oleh rakyat negara kita, bahkan penulis berasakan angka peratusan tersebut semakin meningkat.

Ya benar, berkemungkinan cadangan penurunan harga keperluan asas ini akan menjejaskan hasil pendapatan negara namun penulis berpendapat dengan kaedah ini ia mampu meningkatkan perbelanjaan tunai dalam kalangan rakyat negara.

Bukankah ini kemahuan kerajaan sewaktu bantuan dana diberikan kepada rakyat? Untuk meningkatan aliran tunai negara?

Jadi seharusnya, penetapan harga barangan asas yang lebih rendah wajar dilakukan. Ia bukan bersifat peribadi tetapi bersifat perikemanusiaan.

Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia turut pernah mengatakan kegagalan dalam memenuhi keperluan asas pada had yang baik mampu menjejaskan tahap kesihatan, masalah sosial dan sumber insan kepada isi rumah sesebuah negara.

Ini bermakna, kegagalan negara dalam memenuhi permintaan rakyat secara majoriti mampu memberi kesan yang buruk kepada bahagian yang lain. Perkara itu secara tidak langsung akan memberi kesan yang lebih teruk kepada pertumbuhan ekonomi negara Malaysia.

Mengapa isu ini digariskan? Ini kerana terdapatnya pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengambil kesempatan di saat situasi pandemik ini berlaku.

Pada Mei 2020, terdapat laporan mengatakan peningkatan harga jualan telur dilakukan dengan pengenaan harga sehingga RM18 sepapan berbanding harga asal runcit sebanyak RM14.50.

Sekiranya peningkatan itu tidak dicegah lebih awal sudah pasti, penindasan dalam kalangan rakyat terus berlaku.

Perkara itu berlaku ketika bulan Mei, bagaimana pula ketika tahun 2021 kelak? Ketika itu sudah pasti saluran bantuan dana akan semakin perlahan dan sudah pasti peningkatan harga barangan keperluan asas akan semakin meningkat disebabkan untuk atasi pengeluaran dana negara kepada rakyat.

Secara tidak langsung permintaan dan kuasa pembeli tidak mempunyai pilihan yang lain, selain daripada terpaksa menanggung kos barangan yang tinggi.