Artikel

1 Oktober 1966 – Akta Pekerjaan Kanak-Kanak Dan Orang Muda Mula Dikuatkuasakan

Detik sejarah kita kali ini adalah berhubung penguatkuasaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.

Akta tersebut telah mula dikuat kuasakan pada tanggal 1 Oktober 1966. Penerapan aktan ini bertujuan untuk mengehadkan pengambilan kanak-kanak selaku pekerja. Sebelum ini, kanak-kanak sering dijadikan sebagai tenaga kerja tanpa mengira umur mereka.

Bagaimanapun penetapan akta ini telah mendefinisikan kanak-kanak yang belum mencukupi umur 14 tahun dan orang muda yang belum mencukupi umur 16 tahun boleh diambil bekerja berdasarkan tetapan yang telah digariskan.

Ia bukan sekadar menetapkan jenis pekerjaan yang boleh dilakukan kanak-kanak ini namun turut merangkumi penetapan tempoh bekerja, bilangan harian pekerjaan serta tempoh rehat yang disediakan.

Tindakan ini supaya setiap penetapan yang diselaraskan dapat memberi jaminan kepada kemampuan kanak-kanak tersebut dalam pekerjaan mereka.

Pada akta tersebut, kanak-kanak tidak dibenarkan bekerja bagi tempoh di antara 8.00 malam dan 7.00 pagi kecuali pekerjaan di tempat hiburan awam. Sementara itu, bagi orang muda pula, pekerjaan selepas 8.00 malam hingga 6.00 pagi tidak dibenarkan.

Ini kerana, penetapan tersebut bertujuan mengawal dan melindungi hak mereka.

Manakala bagi majikan pula yang memerlukan tenaga kerja kanak-kanak dan orang muda, perlulah melakukan permohonan lesen daripada Suruhanjaya Buruh.

Lesen tersebut akan diberikan setelah segala rekod kesihatan dan dokumen peribadi kanak-kanak dan orang muda terbabit telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

Meskipun semakan dokumen telah dilakukan, Pegawai Jabatan Buruh akan sentiasa melakukan pemantauan mereka berhubung masa operasi perkerjaan kanak-kanak dan orang muda dijalankan.

Inisiatif ini bagi memastikan tiada sebarang penindasan dapat dilakukan ke atas mereka.