Artikel

Menuju 2021: Adakah Malaysia Akan Terus Dibayangi Wabak COVID-19?

94 hari sebelum menjelangnya tahun 2021 – adakah penularan COVID-19 akan berterusan di Malaysia?

Persoalan ini mulai wujud apabila negara kembali mencatatkan peningkatan kes positif COVID-19 pada Julai lalu. Sekiranya angka ini berterusan meningkat, apakah nasib pertumbuhan ekonomi negara?

Untuk makluman pembaca, peningkatan itu telah didorong menerusi kluster Sivagangga, iaitu pemilik Restoran Nasi Kandar di Pekan Napoh, Jitra yang telah disahkan positif COVID-19. Tindakannya untuk tidak kuarantin selama 14 hari setelah tiba dari India menyebabkan penularan yang lebih besar berlaku di negeri Kedah.

Selain di Kedah, negeri Sabah turut menunjukkan peningkatan kes positif secara mendadak sehingga mencecah tiga angka catatan. Namun apa yang menghairankan penulis, meskipun Sabah sudah dimaklumkan memiliki kes positif tertinggi di Malaysia -kempen pilihan raya di Sabah masih diteruskan tanpa sebarang persediaan kuarantin untuk pihak yang terlibat.

Ternyata kebimbangan penulis mulai menjadi realiti, apabila individu yang tiba dari Sabah mula menjangkiti individu di negeri lain. Antara negeri yang terkesan disebabkan penularan pandemik di Sabah adalah Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Penularan secara mendadak ini jelas menunjukkan masih ada ketidaksedaran pada sistem pengawalan Malaysia.

Tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mewajibkan ujian saringan ke atas individu yang tiba dari Sabah juga turut disifatkan perlahan. Ia kerana, situasi ketika ini tidak menbantu menghentikan penularan, bahkan angka kes semakin meningkat.

Sehingga ke hari ini (29 September) sebanyak 101 kes positif COVID-19 dicatatkan – angka ini merangkumi 97 kes warga tempatan. Melihat pada angka ini, tahukah anda pada 26 Julai 2020 – Kementerian Kesihatan Malaysia pernah memberi amaran, sekiranya angka kes mencecah 3 angka maka pihak kerajaan akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, perkara itu dilihat tidak berlaku. Paling membimbangkan adalah kenyataan pada persidangan KKM hari ini mengatakan bagi individu yang memperolehi keputusan ujian saringan negatif dan tidak memiliki sebarang gejala tidak diwajibkan untuk kuarantin selama 14 hari.

Kewajipan kuarantin 14 hari itu hanya tertumpu kepada individu yang memperolehi keputusan ujian saringan positif dan individu yang memiliki gejala pandemik sahaja.

Adakah kenyataan ini relevan? Bagaimana pihak KKM dan MKN mampu memberi jaminan bahawa individu yang disahkan negatif dan tidak memiliki sebarang gejala itu telah terhindar dari penularan COVID-19?

Bukankah sebelum ini, bagi mana-mana pihak yang tiba dari kawasan penularan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari tanpa gagal?

Persoalan ini sekaligus merunsingkan penulis berkenaan tempoh pemulihan yang sedang dilalui oleh rakyat Malaysia. Adakah Malaysia akan terus dibayangi wabak COVID-19, meskipun negara sudah memasuki tahun 2021 kelak? Sila katakan tidak. Menerusi pengamatan situasi pada ketika ini, penulis mengharapkan penglibatan semua pihak dalam memutuskan rantaian COVID-19 dapat dilakukan.

Jika sebelum ini, kita mampu menanganinya dengan mencegah – ayuh kita teruskan langkah sedemikian. Cegah dengan penjarakan sosial, cegah dengan terus memakai pelitup muka.