Artikel

Sekitar 12,000 Taska Dan Tadika – Terima Manfaat Insentif Geran “One-Off” Bernilai RM5,000

Selari dengan pembukaan sektor ekonomi sejak Mei lalu, kini pusat asuhan kanak-kanak mula dibuka.

Susulan peningkatan keyakinan ibu bapa terhadap pembukaan pusat asuhan, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pemberian geran one-off bernilai RM5,000 akan disalurkan kepada pengendali taska dan tadika yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Usaha bantuan ini adalah untuk membantu persediaan pihak pengurusan bagi penjagaan kanak-kanak ketika krisis pandemik ini, di samping dapat menggalakkan penerapan garis panduan kesihatan. Malah menerusi insentif ini juga ia turut merancakkan semula operasi pusat asuhan negara.

Setakat 18 September lalu, sejumlah RM18.91 juta peruntukan telah memanfaatkan sekitar 12,000 premis taska dan tadika negara.