Hari ini menunjukkan terdapatnya 95 hari sahaja lagi, sebelum Malaysia menjejaki tahun 2021.
Meskipun negara sudah berada di abad ke 2020, namun isu simpanan peribadi masih lagi gagal dilakukan.
Tahukah anda pada tinjauan literasi kewangan Visa bersama RinggitPlus tahun lalu telah menyatakan hampir 53% rakyat Malaysia mengakui tidak mampu untuk bertahan lebih 3 bulan wang simpanan mereka.
Fakta itu bermakna, hampir separuh rakyat negara masih lagi tidak bersedia.
Kenyataan ini secara tidak langsung menunjukkan pemahaman berhubung kesedaran dan pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat negara masih lagi rendah. Apa yang mengejutkan tinjauan itu dilakukan pada akhir tahun lalu.
Bagaimana dengan tahun 2020? Tahun yang mengejutkan semua pihak, sehingga ada diantara kita yang terpaksa diberhentikan pekerjaan. Adakah simpanan rakyat untuk tahun ini lebih bersedia?
Perkara ini yang merunsingkan fikiran penulis.
Ini kerana, berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) – hanya 6% rakyat Malaysia sahaja yang mampu meneruskan kelangsungan kehidupan mereka bagi simpanan tempoh 6 bulan.
Malah lebih teruk, sekitar 75% rakyat negara dikatakan tidak memiliki simpanan sehingga RM1,000. Pelik bukan?
Berhubung isu ini, penulis tidak menyalahkan rakyat Malaysia sepenuhnya. Ia kerana faktor persekitaraan turut menjadi penyebab mengapa simpanan rakyat negara masih ditahap yang rendah.
Antaranya adalah kos sara hidup yang tinggi, memiliki komitmen isi rumah yang terlalu banyak dan berdasarkan kajian literasi, sekitar 37% individu hanya perolehi pendapatan kurang daripada RM2,000 – ini membuatkan mereka tidak mampu untuk melakukan simpanan.
Seterusnya, antara faktor lain yang turut menghalang rakyat negara dari melakukan simpanan, adalah disebabkan tanggungan hutang.
Tahun lalu, kadar hutang isi rumah negara bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat kepada 82.7%. Ini bermakna tanggungan hutang turut menjadi bebanan terbesar rakyat negara.
Jadi, sempena 95 hari sebelum tibanya tahun 2021 – penulis merasakan inilah saat yang tepat untuk semua rakyat Malaysia mula belajar melakukan simpanan.
Melihat pada krisis COVID-19, sudah pasti memberi iktibar yang terbesar untuk semua rakyat negara. Di sini kita dapat melihat kepentingan wang simpanan ketika situasi kecemasan. Oleh itu, ayuh rakyat Malaysia, kita mulakan era tahun baru dengan memperkemaskan pengetahuan pengurusan kewangan kita untuk jaminan kewangan masa hadapan.