96 hari sebelum tibanya tahun 2021, masih terdapat pelbagai lagi sektor negara yang belum diatasi dengan baik. Antaranya adalah jualan produk buatan Malaysia.
Penulis melihat situasi ketika ini amat sesuai untuk dijadikan pencetus kepada peningkatan jualan produk tempatan. Bukankah sudah sampai waktunya untuk kita menyokong pembelian produk buatan Malaysia, tidak begitu?
Bercerita tentang jualan produk buatan negara ini, ia bukanlah sesuatu perkara yang baharu di Malaysia. Kempen memperkasakan produk tempatan ini sudah lama dilakukan sejak awal tahun 2000 lagi.
Rata-ratanya dilihat tidak membuahkan hasil. Faktor utama yang sering dijadikan pertikaian adalah kualiti produk tersebut dan penetapan harga yang lebih mahal berbanding barangan import.
Sedarkah kalian, sebenarnya pengeluaran produk tempatan memainkan peranan yang begitu penting pada catatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)? Namun permasalahan tersebut dilihat semakin beransur pulih.
Tahun lalu (2009) – Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mengatakan perolehan barangan tempatan dari warga PKS telah meningkat sehingga 38.9%.
Peningkatan ini amat penting pada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan peluang pekerjaan buat rakyat negara.
Lebih menarik, meskipun negara kini sedang mengalami pergolakan dalam menyeimbangkan semula ekonomi, sekitar RM11.98 juta jualan barangan tempatan telah berjaya dicatatkan di platform e-dagang Shopee. Dan ianya adalah catatan jualan bagi Julai dan Ogos – tidak merangkumi jualan keseluruhan di platform yang lain.
Seterusnya, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) langkah lain yang sedang giat dilakukan adalah merangsang permintaan produk buatan negara dengan meningkatkan pelaburan pada sektor tersebut.
Iaitu dengan memperluaskan usahasama antara premis peruncitan utama negara seperti pusat membeli-belah, rangkaian pasar raya bersama sektor lain. Tindakan itu bertujuan memperkayakan lagi aliran tunai permintaan produk buatan Malaysia.
Sehingga kini, antara kempen yang sedang dilaksanakan adalah Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia.
Secara keseluruhannya, kenyataan ini menunjukkan prestasi penghasilan produk negara semakin meningkat dan mulai diterima baik oleh semua pihak. Perkara itu perlu dikekalkan dan dipertingkatkan demi kepentingan ekonomi domestik negara.