Artikel

Menuju 2021: Peningkatan Had Hutang Bantu Pertumbuhan Ekonomi Negara

97 hari sebelum tibanya tahun 2021, terdapat beberapa aspek perlu diberi tumpuan oleh negara.

Antara topik yang bermain di minda penulis adalah isu penetapan kadar had hutang negara. Jadi mengapa negara perlu meningkatkan kadar had hutang?

Peningkatan ini bukanlah hendak merugikan negara namun ia bertujuan untuk mengurangkan kejatuhan ekonomi negara dari menjadi terlalu drastik.

Untuk makluman ketika ini hutang negara telah berada pada unjuran 58% dengan paras RM823.8 bilion iaitu melebihi 55% yang telah ditetapkan dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum ini.

Oleh itu penetapan had hutang baharu perlu dilakukan oleh kerajaan.

Baru-baru ini, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah melaksanakan Inisiatif Penangguhan Perkhidmatan Hutang pada April lalu. Kini, pihaknya akan melanjutkan inisiatif tersebut dengan mengadakan perbincangan bersama 20 negara ekonomi utama di dunia bagi meringankan bebanan semua pihak, khususnya negara yang amat terkesan akan krisis tersebut.

Melihat pada usaha itu, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengusulkan peningkatan had hutang negara sebanyak 60% daripada KDNK perlu dilakukan pada Ogos 2020.

Ini kerana menerusi usaha itu, ia secara tidak langsung dapat menyeimbangkan semula pasaran tempatan negara.

Jadi bagaimana ia dapat menyeimbangkan semula pasaran negara?

Berdasarkan tinjauan IMF: Debt & Growth – bagi negara yang telah mencapai had hutang sehingga peratusan 90% ke atas – pihak mereka menjangkakan negara-negara ini akan mengalami kejatuhan pertumbuhan ekonomi secara mengejut dan mendadak.

Semua pihak ketahui, seluruh dunia kini sedang mengalami defisit yang besar pada perbelanjaan negara disebabkan penyaluran dana bantuan fiskal bagi krisis pandemik, COVID-19. Namun tindakan penyaluran dana tersebut tidak akan mempengaruhi jumlah hutang sebenar negara.

Menerusi peningkatan had hutang negara ini sudah pasti pembiayaan selanjutnya pada defisit negara dapat diatasi. Ini termasuklah kos penyaluran dana rangsangan ekonomi serta kos pemulihan yang dikeluarkan.

Maka, penetapan had hutang negara pada 60% tersebut masih dilihat terkawal.

Kepentingan pada ketika ini adalah untuk tidak mengelakkan negara dari status muflis sekaligus dapat membantu meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi negara.