Artikel

Menuju 2021: Politik Negara Terus Bercelaru

98 hari sebelum menjelang tahun 2021 telah menunjukkan landskap politik negara terus bercelaru.

Kecelaruan ini kita dapat lihat apabila pemerintahan negara mula berlaku pergolakan pada Februari 2020 di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8, mengantikan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad secara mengejut.

Jadi apa permasalahannya?

Ketidaktentuan politik Malaysia telah menyebabkan berlakunya penurunan pada pertumbuhan ekonomi negara. Pada 10 Mac 2020, Pakar Ekonomi OCBC, Wellian Wiranto telah mengatakan krisis politik antara isu yang membawa kepada penurunan eksport, defisit fiskal, kerugian pada penggunaan domestik dan pelancongan negara.

Benar, penurunan ini turut terkesan disebabkan penularan awal COVID-19 dan kejatuhan harga minyak dunia. Namun politik negara turut menambahkan lagi bebanan tersebut kepada rakyat Malaysia.

Tindakan pengambilalihan ditengah krisis dunia ini dilihat hanya memenuhi kepentingan peribadi ahli politik sahaja.

Perkara itu dapat dilihat pada awal bulan Mac 2020, apabila FBM KLCI dibuka rendah dengan memaparkan penyusutan 21.09 matau atau -1.42%. Paras 1,460 itu adalah terendah dalam tempoh lebih sepuluh tahun.

Kenyataan itu membawa kepada gesaan Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) untuk menggantung perdagangan Bursa Malaysia.

Dorongan itu secara jelas mampu mempengaruhi kepercayaan para pelabur terhadap pasaran negara. Kehilangan peluang pelaburan sudah pasti akan membawa kepada kehilangan peluang pekerjaan yang lebih besar dan turut merencatkan pembangunan infrastruktur Malaysia.

Kegagalan tersebut mampu menjadi faktor utama, mengapa masalah kadar pengangguran negara tidak dapat diselesaikan, yang kini berada pada paras 47% iaitu sebanyak 745,100 individu yang sedang menganggur.

Melihat pada angka itu, ia bukan sekadar mengugat kepercayaan pelabur kepada industri negara namun turut mengugat kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan ahli politik negara.

Dan kini,, timbul pula kenyataan baharu bahawa Anwar Ibrahim – memiliki sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu. Wah, menarik bukan? Wahai ahli politik negara, adakah kalian berasa situasi ketika ini sebagai sebuah permainan?

Tidak cukupkah dengan masalah prestasi negara yang mencatatkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 17.7%? Bukankah seharusnya kesemua wakil rakyat perlu memikirkan semula strategi bagaimana negara dapat meningkatkan kembali pasaran, permintaan dan pengeluaran negara.

Pada pengamatan penulis kecelaruan politik negara dan peralihankuasa ini sama sekali tidak menguntungkan rakyat, bahkan lebih merugikan mereka.