Artikel

Menuju 2021: Kadar Gaji Minimum Negara Masih Ditakuk Rendah

99 hari menjelang tahun 2021 – masih terdapat banyak lagi perkara yang perlu Malaysia fokuskan, antaranya adalah penetapan kadar gaji minimum negara.

Seperti yang umum ketahui pada Belanjawan 2020, penetapan kadar gaji minimum negara telah meningkat sebanyak RM100, iaitu kepada RM1,200 dari RM1,100. Namun, ianya hanya tertakluk kepada kawasan bandar yang terpilih sahaja.

Meskipun, kedengaran angka tersebut memaparkan peningkatan, namun ia masih tidak memadai. Mengapa?

Ini kerana kos sara hidup negara adalah tinggi. Ia menjadi punca utama mengapa kadar minimum tersebut tidak lagi relevan. Terdapat dua faktor yang boleh kita fokus pada peningkatan kos sara hidup iaitu kenaikan harga barangan tempatan dan kebergantungan negara terhadap barangan import.

Perkara ini dibuktikan sebelum ini, berdasarkan tinjauan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan di bawah Akta Persaingan 2010 memaparkan Malaysia terlalu bergantung kepada bekalan daging luar negara contohnya seperti dari Australia.

Secara tidak langsung ia meningkatkan perbelanjaan negara dan itu memberi kesan kepada kuasa pembeli. Paling penting ia telah menjejaskan komitmen rakyat negara.

Untuk makluman pembaca, laporan Bank Negara Malaysia 2017 pernah mengatakan – sekitar 27% isi rumah di Malaysia menerima pendapatan di bawah gaji wajar iaitu tidak relevan dengan kos sara hidup setempat. Jadi, perkara ini perlu dipandang serius. Lebih parah lagi kadar gaji minimum RM1,200 itu hanya tertakluk kepada bandar-bandar utama sahaja.

Penetapan ini dilihat kurang seimbang, khususnya kepada pekerja di kawasan bandar yang tidak terpilih. Pelbagai persoalan mula diperdebatkan, bagaimana kerajaan menakrif status sesebuah bandar? Adakah kerajaan mempertimbangkan kadar gaji minimum berdasarkan bancian kasar sahaja?

Penulis melihat sekiranya penetapan kadar gaji minimum ini masih ditakuk yang rendah – ini akan menjadi permasalahan besar kepada sektor tenaga kerja Malaysia.

Ia seolah-olah menunjukkan kerajaan dan majikan negara tidak mengiktiraf kepakaran dan perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja tempatan. Malah apabila isu ini dibangkitkan, segelintir majikan memilih untuk mengambil pekerja asing dan bukannya mempertimbangkan semula permintaan pekerja tempatan.

Apa yang lebih mengejutkan adalah pertumbuhan produktiviti tenaga kerja negara telahpun meningkat kepada 2.2% bagi tahun 2018. Peningkatan itu membawa kepada nilai prestasi mencecah RM284,386 berbanding China yang hanya RM136,729.

Bukankah peningkatan prestasi itu boleh membawa kepada kadar gaji minimum yang lebih baik?

Melihat pada permasalahan, penulis berasakan kerajaan perlu melakukan rundingan – ia sejajar dengan Akta 732 iaitu Seksyen 4 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 iaitu mengadakan perbincangan bersama wakil industri seperti Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) ataupun Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC).

Walaupun usaha itu sudah seringkali dilakukan, tetapi ia tetap perlu dilakukan. Demi kepentingan ekonomi dan hak pekerja tempatan.