Artikel

23 September 1981 – Malaysia, WHO Memeterai Perjanjian Penubuhan Sekretariat Pusat Latihan Malaria Asia

Pada topik detik sejarah kita hari ini adalah telah temeterainya Perjanjian Kerajaan Malaysia bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 23 September 1981 dalam menubuhkan sekretariat Pusat Latihan Malaria pada peringkat Asia.

Perjanjian ini telah diwakilkan oleh kedua-dua pihak iaitu Hiroshi Nakajima, wakil WHO Asia dengan Dato’ Wong Yoke Meng – Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.

Usaha mengawal penyakit Malaria ini dilihat sesuatu yang baik buat sektor kesihatan dan ekonomi negara.

Ini kerana menerusi perjanjian tersebut, menjadikan Malaysia selaku peneraju utama dalam menerajui pengendalian pusat latihan pada rantau Asia.

Tindakan itu secara tidak langsung telah memaparkan kredibiliti kesihatan negara dalam memerangi penyakit malaria, sehingga memperolehi kepercayaan dari WHO.

Apa yang mengagumkan, Malaysia ketika itu telahpun menjalankan pelbagai usaha pembasmian malaria sejak tahun 1960 lagi.

Ini merangkumi kerjasama dengan WHO pada projek Malaria Eradication Pilot iaitu pada tahun 1960 sehingga 1964.

Setelah projek itu berjaya dilaksanakan ia telah diteruskan dengan projek lanjutan lain iaitu Malaria Pre-Eradication Programme pada tahun 1964 hingga 1966.

Kejayaan demi kejayaan dalam membendung penyakit malaria ini sekaligus telah membawa kepada penubuhan bahagian malaria di Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan usaha mengawal penyakit ini dapat diteruskan oleh negara.

Susulan itu, secara jelasnya komitmen ini dilihat sebagai usaha yang baik oleh negara bersama sokongan pertubuhan dunia dalam memerangi penyakit Malaria.