Artikel

20 September 1971 – Penubuhan Lembaga Padi Dan Beras Negara

Penanaman padi dan penghasilan beras sememangnya sesuatu perkara yang bukan asing lagi buat sektor pengeluaran negara.

Ia adalah rutin ekonomi yang telah wujud sejak era Tanah Melayu lagi. Malah ia adalah komponen ruji buat negara.

Menyingkap tentang itu, detik sejarah hari ini adalah berkisarkan pelancaran Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada tanggal 20 September 1971. Ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua ketika itu, Tun Abdul Razak Hussien di bilik Gerakan Negara Kuala Lumpur.

Pelancaran LPN ini telah ditempatkan sebagai badan berkanun di bawah Akta Lembaga Padi dan Beras Negara. Antara peranan yang dilakukan adalah pengurusan penyelenggaraan bekalan padi dan beras pada pasaran. Malah pemantauan ke atas struktur penetapan harga jualan yang berpatutan dan stabil juga perlu dilaksanakan kepada petani-petani tempatan.

Selain pemain industri, LPN juga turut menetapkan piawaian harga yang seimbang kepada para pengguna berserta dengan dasar-dasar perniagaan padi dan beras.

Pembentukan dasar dan polisi sektor tersebut perlu memperolehi kelulusan daripada pihak kerajaan.

Melalui peranan yang diwujudkan pada jawatankuasa LPN ini, ia sekaligus dapat melakukan pemantauan secara menyeluruh pada bahagian penanaman, pengeluaran, pengilangan dan pemasaran padi serta beras dalam dagangan tempatan.

Setelah beberapa ketika, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pula telah mengambilalih fungsi LPN pada 1996 dalam mengetuai perkembangan industri menerusi pasaran mahupun bahagian komersil.