Artikel

Kerajaan Perlu Menyemak Semula Kadar Gaji, Masih Ramai Pekerja Yang Tertindas

Meskipun purata gaji bagi tahun 2019 memaparkan peningkatan, namun pelbagai bebanan masih terus dipikul oleh pekerja negara.

Menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) semalam berhubung kenaikan 4.4% purata gaji negara 2019 hanyalah sekadar peningkatan bulanan sebanyak RM137 sahaja.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon menganggap kenaikan itu masih tidak mencukupi, khususnya buat pendapatan isi rumah yang berada di kawasan bandar. Kos sara hidup yang berterusan meningkat naik mampu memberi tekanan kepada mereka. Ia tidak memadai dengan keperluan mereka.

Tambahan pula keadaan krisis ketika ini telah menyebabkan kadar pengangguran dan pertumbuhan ekonomi negara semakin terjejas. Sudah pasti kadar upah pada tahun 2020 bakal merudum dan memberi kesan yang lebih buruk kepada pekerja Malaysia.

Susulan itu, kerajaan disarankan membentuk sebuah dasar yang mampu memberi jaminan kepada kedudukan dan kelangsungkan pekerjaan pekerja di Malaysia. Saranan mereka adalah mempraktikkan Peraturan Penggajian Kecemasan – ini berperanan menghalang majikan dari memberhentikan pekerja sehingga ekonomi negara kembali pulih.

Gesaan untuk kerajaan kaji semula penetapan gaji dalam kalangan pekerja Malaysia juga perlu dilakukan. Ini kerana masih ramai lagi yang berdepan dengan masalah perolehan gaji rendah, meskipun telah berkhidmat dalam jangka masa panjang.

Tindakan sedemikian perlu dilakukan, ia melibatkan hak pekerja – seharusnya selaku majikan jaminan perlindungan dapat diberikan ketika detik sukar ini berlaku.