Artikel

Konflik Perjanjian TikTok – Oracle, ByteDance Masih Lagi Kurang Jelas

Konflik Amerika Syarikat (AS) bersama China masih lagi berterusan berhubung isu pemilikan aplikasi TikTok AS.

Meskipun Oracle dilihat berpotensi menjadi rakan teknologi aplikasi milik ByteDance itu, namun kelihatannya pemilikan itu sekadar bersifat minoriti sahaja.

Menurut beberapa laporan mengatakan Oracle akan memperolehi kepentingan minoriti manakala TikTok pula masih mengekalkan pegangan majoriti mereka pada perkongsian aplikasi teknologi tersebut.

Tindakan ini menunjukkan perjanjian yang diusulkan oleh TikTok masih kurang jelas.

Berikutan ura-ura ini berlanjutan, parlimen Republik AS telah memberi amaran kepada Oracle untuk tidak menerima perjanjian tersebut. Ini kerana sekiranya perkara itu berlaku, maka ia masih mengekalkan status kawalan China ke atas aplikasi TikTok di AS.

Bagaimanapun, AS tetap optimis akan perjanjian ini. Menurut James Lewis – Ketua Dasar Teknologi Pusat Kajian Strategik Antrabangsa, pihak Oracle boleh mendapatkan persetujuan yang lebih baik pada perjanjian tersebut, namun mereka perlu melakukan perubahan dari segi tuntutan perkongsian.

Sebelum ini, pihak berkuasa China telah menegaskan bahawa mereka tidak akan membenarkan ByteDance menjual algoritma yang digunakan oleh TikTok yang dipercayai menyimpan pelbagai nilai untuk platform media sosial, dan jika Oracle mampu membelinya – sudah pasti mereka bakal tampil sebagai pemegang majoriti.