Artikel

Alibaba Memperkenalkan Kilang Pintar Tersendiri Memfokuskan Pengeluaran Pakaian

Alibaba sedia bereksperimen dengan sejumlah perkara berkaitan pengeluaran dan penjualan. Sebelum ini, Alibaba pernah hadir dengan konsep kedai runcit pintar yang beroperasi tanpa sebarang manusia. Terbaru, kini Alibaba turut memperlihatkan kilang pintar mereka yang boleh meningkatkan kadar produktiviti serta mengurangkan pembaziran.

Dinamakan Xunxi Digital Factory, kilang ini terletak di Hangzhou, China – dimana Alibaba berpusat. Melalui kilang pintar ini, ia mengubah kaedah tradisional dalam operasi kilang dengan menggunakan teknologi dan kecerdasan buatan.

Kilang pintar ini boleh dioptimasikan berdasarkan permintaan dan tempahan secara atas-talian dari pengguna, sekaligus membolehkan pengeluarannya beroperasi berdasarkan kepada permintaan masa-nyata. Kaedah ini juga sangat sesuai untuk syarikat kecil dan sederhana.

Langkah ini juga amat sesuai dalam dunia fesyen yang sering memperlihatkan perubahan permintaan dan stail dari hari ke hari.

Pengenalan kilang pintar ini masih pada peringkat awal, dan sekiranya berjaya, tidak mustahil untuk kita melihat kaedah sama diimplementasi pada kilang-kilang lain pada masa akan datang.