H&M mengumumkan pihaknya akan menamatkan kerjasama dengan pembekal kapas di Xinjiang, China – ini kerana pihaknya telah dituduh terlibat dalam isu penindasan buruh paksa pada wilayah tersebut.
Untuk makluman, wilayah Xinjiang adalah merupakan kawasan tanaman kapas terbesar di China.
Tindakan syarikat milik Sweden ini dilihat sebagai suatu langkah yang drastik – mampu memberi kesan kepada operasi pengeluaran produk mereka.
Namun ternyata laporan Institut Dasar Strategik Australia telah memaparkan H&M antara entiti yang menerima manfaat berikutan penggunaan guna tenaga buruh paksaan melalui hubungan dengan operasi kilang Huafu Fashion di Anhui.
Susulan itu, H&M telah tampil menafikan dakwaan tersebut, pihaknya mengakui sekadar memiliki hubungan dengan operasi di Shangyu sahaja – tidak pada operasi di Anhui.
Meskipun H&M tidak terlibat dalam dakwaan tersebut, pihaknya tetap memutuskan untuk menghentikan hubungan kerjasama ini. Setakat ini, pihaknya sedang melakukan pemeriksaan di seluruh operasi kilang China berhubung dakwaan tersebut.
Awal minggu ini pihak kastam Amerika Syarikat (AS) telah menyekat sejumlah produk China seperti kapas, pakaian dan produk rambut dari Xinjiang. Pihaknya bimbang pengeluaran produk tersebut adalah hasil buruh paksaan.
China bagaimanapun menyelar dakwaan AS dengan mengatakan tindakan itu sebagai buli dan palsu.