Artikel

Sekiranya Rakyat Alpa, Kerajaan Bakal Laksanakan PKPD

Kerajaan kini tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada kawasan yang mencatatkan penularan kes COVID-19 tinggi.

Kenyataan ini telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang khas sebentar tadi.

Rakyat negara disarankan untuk terus berwaspada dan menjadikan pemakaian pelitup muka itu sebagai suatu kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita.

Saranan ini bertujuan untuk mengingatkan rakyat negara bahawa Malaysia masih lagi mengalami penularan aktif bagi kes baharu COVID-19.

Antara yang mengamit perhatian adalah jumlah kes positif yang dikesan dalam kalangan pelawat luar negara bagi tempoh 3 April sehingga 15 September 2020 adalah seramai 1,017 individu.

Manakala untuk kes tempatan pula terdapat tiga daerah yang dilabelkan sebagai zon merah iaitu Kota Setar di Kedah, Tawau dan Lahad Datu di Sabah.

Rentetan itu, PM Muhyiddin mengatakan penularan ini akan berterusan untuk jangka masa yang lebih lama. Perkara ini turut diperakui oleh pemerhati kesihatan dunia, ini kerana sekiranya penghasilan vaksin masih lagi tidak temui – sesiapa sahaja memiliki risiko untuk terus terdedah akan jangkitan COVID-19.

Oleh itu, selain menormalisasikan pemakaian pelitup muka – rakyat negara turut diingatkan untuk menjaga penjarakan fizikal, kebersihan diri serta penggunaan hand sanitizer bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat Malaysia.