Artikel

15 September 1999 – Pembukaan Istana Budaya Sebagai Sebuah Teater Berkelas Dunia

Ternyata memiliki pelbagai keunikan budaya pada sesebuah negara mampu menjadi satu kelebihan buat Malaysia. Ia dilihat sebagai sebuah khazanah mahupun warisan negara yang harus dijaga dan dikekalkan.

Menerusi tanggapan itu, pada detik sejarah kita kali ini, tanggal 15 September 1999 – adalah tarikh di mana Perdana Menteri Kempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan pembukaan Istana Budaya di Jalan Tun Abdul Razak, iaitu sebuah teater utama negara yang berkelas antrabangsa.

Untuk pengetahuan pembaca, idea pembentukan teater bertaraf dunia ini telah mula dilaksanakan sejak tahun 1964 lagi dengan nama Panggung Negara. Bagaimanapun sehingga tahun 1999 barulah ia dipindahkan kepada Istana Budaya, kemudiannya dilancarkan pembukaannya.

Konsep Istana Budaya ini telah diilhamkan pada tahun 1971 – ketika itu Kongres Kebudayaan Kebangsaan memainkan peranan dalam mengetengahkan idea pembinaan teater itu.

Rekabentuk hasil karya arkitek tempatan, Muhammad Kamar Ya’akub ini berasaskan seni Melayu dan bangunan tersebut turut dilengkapi pelbagai peralatan produksi seni budaya, untuk tempatan dan antarabangsa.

Hasil pembinaan telah menelan peruntukan sekitar RM210 juta. Keluasan pembinaan adalah 5.44 hektar beserta keluasan lantai 21,000 meter persegi.

Lebih menarik, sehingga kini ia masih beroperasi dan Istana Budaya pada ketika ini telah diiktiraf sebagai sepuluh panggung terbesar dan terbaik di dunia.

Ia kerana kelebihannya memiliki kecanggihan teknologi yang setara dengan pementasan antarabangsa.