Artikel

Alibaba Rancang Melabur Pada Platform Grab, Sekitar AS$3 Bilion – Laporan

Alibaba Group Holding kini merancang untuk melabur pada firma Grab, iaitu sebuah platform seru-pandu Asia Tenggara.

Menurut laporan Reuters, sasaran awal pelaburan tersebut adalah bernilai RM12.4 bilion (AS$3 bilion). Bagaimanapun menurut sumber, perancangan itu masih diperingkat awal, dan kedua-dua pihak setakat ini tidak memberi sebarang maklum balas berhubung isu ini.

Sekiranya perancangan itu berlaku – ternyata Alibaba akan menjadi satu-satunya konglomerat China yang menempatkan sebahagian dana perolehan mereka hanya untuk memiliki sebahagian saham Grab.

Untuk makluman, platform Grab kini dianggarkan mencecah nilai RM57.9 bilion (AS$14 bilion) dan platform itu kini bukan sekadar menawarkan perkhidmatan tempahan kereta sahaja, namun turut merangkumi tempahan makanan GrabFood dan tempahan barangan runcit GrabMart serta telah berkolaborasi dengan pelbagai platform e-dagang untuk tawaran baucar pembelian, GrabPay.