Artikel

Cukai, Peraturan Hotel Dan Airbnb Bakal Diselaraskan – DS Mustapa

Tidak lama lagi kerajaan akan menyelaraskan peraturan dan cukai terhadap sektor perhotelan dan Airbnb. 

Menurut Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) – langkah ini untuk memperbaharui industri perkhidmatan penginapan – ia kerana sektor tersebut telah mengalami kesan yang tinggi disebabkan COVID-19. Malah persaingan yang sengit menyebabkan ketidakadilan berlaku.

Setakat ini, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kerajaan negeri, dengan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali ditugaskan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

Perbincangan lanjutan masih sedang dilakukan. Tindakan penyelarasan ini dilihat mampu meningkatkan semula pertumbuhan industri negara.