Umum ketahui, sistem pendidikan negara mulai terbentuk sejak zaman penjajahan lagi.
Ia berasaskan sistem pembelajaran di pondok seperti masdrasah mahupun sekolah-sekolah agama. Pada ketika itu, motif pendidikan negara adalah berpandukan kepada pembentukan sahsiah dan moral tinggi sahaja.
Setelah itu bermulalah era sekolah vernakular – di mana pendidik tidak hanya memfokuskan kepada akhlak pelajar sahaja namun mula beri penekanan kepada pembelajaran secara menyeluruh seperti sains, matematik dan bahasa inggeris. Malah ia meliputi semua bangsa.
Peralihan tersebut semakin menjadi teratur apabila penerapan Penyata Razak (1956) diperkenalkan pada pendidikan negara.
Menerusi warta tersebut kerajaan menumpukan pada kemudahan pendidikan yang lebih efektif dari aspek displin, latihan, liberal dan progresif. Secara tidak langsung membawa kepada perluasan dan pengurusan yang lebih cekap dalam pembangunan pendidikan negara.
Ternyata perubahan itu membawa kepada detik sejarah kita pada hari ini, di mana tanggal 12 September 2008 -UNICEF telah mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam pembangunan pendidikan.
Pengiktirafan ini memaparkan prestasi kejayaan negara dengan menempatkan lebih 96% kanak-kanak di sekolah rendah. Antara lain kejayaan pada ketika itu, adalah dari segi penyediaan kualiti pendidikan merangkumi program 3R – menulis, membaca dan mengira.
Tidak terkecuali juga kejayaan pendidikan negara dalam membantu kanak-kanak luar bandar, pendalaman mahupun orang Asli memperolehi pendidikan yang sama rata dengan kanak-kanak di bandar.
Usaha itu disambut baik oleh pihak antarabangsa – inisiatif ini dilihat mampu membantu pertumbuhan negara menjadi lebih maju.
Selain pembangunan pendidikan, UNICEF turut mengiktiraf pembangunan kesihatan serta makanan Malaysia.