Artikel

Aliran Acara Perdagangan Negara Masih Positif – Menteri Pelancongan

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) mengatakan tinjauan ke atas industri perdagangan dan acara perniagaan di Malaysia setakat ini masih positif.

Berdasarkan laporan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), sebanyak 70 acara telah ditangguhkan, sementara itu hanya 20 acara yang dibatalkan susulan krisis COVID-19. 

Menurut Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Nancy Shukri kesan tersebut mampu merugikan ekonomi negara pada kadar RM173 juta.

Malah susulan penangguhan perjalanan udara turut memberi kesan kepada acara perdagangan negara – ini kerana industri tersebut bergantung kepada perjalanan antarabangsa.

Kini tumpuan Motac adalah merancang meningkatkan semula pelancongan domestik bagi meningkatkan ekonomi setempat. Ini seiring dengan agenda peralihan kepada digitalisasi.

Motac menjangkakan tumpuan ke atas pelancongan domestik mampu mendatangkan hasil yang baik kepada negara menerusi sokongan pelbagai pihak.

Sehingga kini, sektor itu telah memaparkan pemulihan dengan rekod sekitar 38% tempahan hotel dicatatkan oleh Persatuan Hotel-Hotel Malaysia.