Buat masa ini, kerajaan tidak berhasrat mengubah MyKad kepada versi baharu.
Ini kerana kad pengenalan yang sedia ada telah dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan berkualiti tinggi dan canggih.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said – MyKad telah dibuat sepenuhnya dari bahan polikarbonat dan ketahanannya telah diuji di makmal yang diakui. Di samping itu, cip MyKad juga telah melalui beberapa tahap pengujian termasuk sebelum proses memasukkan cip ke dalam kad.
Ukiran bayangan imej bersama laser pada bahagian kad tersebut bertindak untuk mengesan dari sebarang pemalsuan dengan segera.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tetap terbuka untuk mendengar pendapat dan cadangan daripada mana-mana pakar sekiranya ada keperluan di masa hadapan untuk mengubah MyKad.