Artikel

Penyelarasan Semula ECRL Berpotensi Mengurangkan Kos

Kementerian Pengangkutan mengatakan pihaknya sedang berusaha untuk mengubah Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) ke laluan asal yang dirancang sebelum ini.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, kerajaan kini sedang mengkaji penyelarasan semula landasan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, melalui Bentong dan Gombak.

Perancangan awal ECRL sebelum ini, adalah mempertimbangkan pembinaan sistem rel meter untuk Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan landasan piawaian untuk ECRL yang akan dibina dari Serendah ke Pelabuhan Klang.

Buat masa ini stesen Serendah dilihat sebagai lokasi pertukaran penumpang dan kargo yang sesuai antara ECRL dan KTMB.

Malah menerusi pemerhatian mereka ia selain dapat menghubungkan rangkaian kereta api melalui negeri-negeri di pantai timur dan utara Semenanjung Malaysia. Perancangan ini turut berpotensi menurunkan kos projek dan mengurangkan jumlah masa yang diperlukan bagi penyelarasan pembinaan.

Bagaimanapun, kerajaan akan melakukan rundingan semula dengan China dan kontraktor utama projek tersebut untuk mendapatkan kepastian mengenai implikasi penyesuaian semula terhadap kos dan garis masa projek itu disiapkan.

Setakat ini, jumlah kos dianggarkan sekitar RM50 bilion, iaitu 13.64% lebih tinggi daripada anggaran sebelumnya sebanyak RM44 bilion yang ditetapkan di bawah pentadbiran sebelum ini.