Artikel

8 September 2009 – McDonald’s Hilang Hak Eksklusif Tanda Dagang Dengan McCurry

Pastinya tarikh 8 September 2009 ini adalah tarikh yang cukup memilukan buat rangkaian makanan segera McDonald’s – ia adalah tarikh di mana mereka kehilangan hak eksklusif tanda dagang ‘Mc’ pada sebuah restoran tempatan Malaysia.

Semuanya berlaku apabila restoran kegemaran ramai itu mulai menyaman McCurry Restaurant – sebuah restoran makanan India tempatan yang telah menggunakan awalan ‘Mc’ pada jenama mereka.

Perihal itu menyebabkan McDonald’s tekad mengambil tindakan perundangan ke atas pemilik McCurry iaitu A.M.S.P. Suppiah.

Pada awalnya, keputusan perundangan tersebut memihak kepada McDonald’s, namun A.M.S.P. Suppiah tetap tidak berpuas hati, ia kerana beliau merasakan awalan ‘Mc’ itu tidak hanya tertumpu kepada McDonald’s sahaja namun ia turut dipakai secara meluas untuk pangkal nama keluarga.

Malah dia turut mengatakan tindakannya menggunakan ‘Mc’ pada jenama restoran adalah membawa erti kepada Malaysia Chicken Curry (McCurry) dan tiada sebarang istilah untuk mencuri hak eksklusif McDonald’s.

Oleh itu, pihaknya mula mengfailkan permohonan rayuan ke atas tuntutan tersebut.

Dan ternyata, Mahkamah Rayuan telah memutuskan pihak perundangan membuat kesilapann dalam melakukan andaian terhadap monopoli Mcdonald’s ke atas tanda dagang ‘Mc’.

Oleh itu, keputusan penuh telah menyaksikan McCurry berjaya memenangi kes saman tersebut. Mahkamah telah memerintah McDonald’s untuk membayar kos RM10,000 kepada McCurry.

Keputusan itu, secara tidak langsung menidakkan hak eksklusif Mcdonald’s ke atas tanda dagang ‘Mc’ bagi pasaran Malaysia.