Artikel

Ketibaan Pelancong Antarabangsa Berkurangan 68.2% Pada Separuh Pertama 2020

Tourism Malaysia kini mengumumkan yang mana ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia berkurangan sebanyak 68.2% untuk tempoh enam bulan pertama 2020 – jikalau dibandingkan dengan tahun 2019 yang lepas.

Mengikut statistik, seramai 4.25 juta pelancong antarabangsa tiba ke Malaysia antara Januari ke Jun 2020 lepas, berbanding 13.3 juta pelancong antarabangsa untuk tempoh sama pada 2019 yang lepas.

Dari segi perbelanjaan, pelancong telah membelanjakan sekitar RM12.5 bilion untuk tempoh yang sama bagi 2020, berbanding RM41.6 bilion pada enam bulan pertama 2019 yang lepas.

Sepuluh pasaran utama ke Malaysia adalah Singapura (1,541,820), Indonesia (702,082), China (401,285), Thailand (348,133), India (153,873), Brunei (135,593), Korea Selatan (118,594), Jepun (73,201), Australia (72,103) dan Filipina (64,311).

Sektor pelancongan negara telah merekodkan perkembangan negatif bagi setiap pasaran mengikut rantau iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-69.1%), pasaran jarak sederhana (-69.0%) dan pasaran jarak jauh (-58.8%).

Seperti ramai sedia maklum, salah satu faktor yang membawa kepada penurunan angka pelancong antarabangsa ini adalah kerana penularan wabak Covid-19 yang membuatkan Perintah Kawalan Pergerakkan diaktifkan, disamping pintu masuk negara yang masih tertutup buat masa ini.