Artikel

Petronas Rugi RM21 Bilion, Namun Kekal Optimis Hadapi Cabaran Pandemik

Petronas hari ini (4 September) mengumumkan prestasi kewangan kumpulan bagi separuh pertama bagi tahun 2020.

Menerusi laporan prestasi, Petronas kini mencatatkan kerugian selepas cukai sehingga RM21 bilion untuk suku kedua 2020.

Angka kerugian ini jauh lebih tinggi berbanding keuntungan bersih RM14.7 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama untuk tahun lalu.

Catatan ini sekaligus menyimpulkan kerugian bersih yang dialami oleh Petronas untuk separuh pertama 2020 secara keseluruhannya adalah RM16.5 bilion.

Antara faktor pendorong kerugian tersebut adalah disebabkan kejatuhan permintaan minyak berserta susut nilai yang mencatatkan sebanyak RM20.77 bilion.

Meskipun mengalami kerugian, pihaknya buat masa ini tidak akan melakukan sebarang pemberhentian pekerja.

Malah, pihaknya akan kekal terus beroperasi dalam lingkungan pasaran yang sedang kritikal ini. Petronas turut menjangkakan prestasi 2020 akan memaparkan pergerakan perlahan disebabkan faktor harga minyak yang rendah dan persekitaran permintaan yang lemah.

Berkenaan isu pemotongan gaji pekerja yang diuar-uarkan sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menafikan kenyataan tersebut.

Setakat ini pihaknya tiada perancangan untuk berbuat demikian. Sebarang lanjutan tindakan berhubung isu tersebut, akan dimaklumkan kemudian.