CGS-CIMB kini menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan diperdagangkan pada julat RM2,400 hingga RM2,800 per tan bagi bulan September 2020.
Jangkaan ini berikutan kebimbangan pasaran berkenaan penawaran inventori yang lebih ketat daripada sebelumnya.
Selain itu, faktor lain yang turut mendorong peningkatan harga tersebut adalah disebabkan masalah cuaca dan buruh di Malaysia, Indonesia.
Firma penyelidikan itu turut mengatakan pengeluaran MSM Malaysia mungkin meningkat 6% dari bulan ke bulan kepada 1.92 juta tan bagi bulan Ogos 2020.
Berdasarkan statistik eksport purata oleh Intertek Testing Services (ITS) dan Amspec Malaysia, kenaikan mendadak harga MSM baru-baru ini mungkin mempengaruhi permintaan pasaran. Stastistik tersebut membawa kepada jangkaan kejatuhan 14% bulan ke bulan bagi pemintaan eksport.
CGS-CIMB bagaimanapun mengatakan pengeluaran yang lebih tinggi pada bulan Ogos mungkin telah mengurangkan kebimbangan industri berhubung masalah kekurangan pekerja di Malaysia.
Namun, disebabkan krisis COVID-19 – rata-rata pekerja asing mula memilih untuk kembali semula ke negara asal mereka. Tindakan ini akan menyukarkan keadaan operasi. pengeluaran kelak.