Bermula 7 September ini, Malaysia tidak akan membenarkan sebarang kemasukan rakyat negara luar yang memiliki catatan kes positif COVID-19 melebihi 150,000 kes.
Kenyataan ini telah dimaklumkan pada sidang media sebentar tadi oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri.
DS Ismail Sabri menegaskan tindakan ini bagi mengurangkan risiko tinggi yang perlu ditanggung oleh negara. Namun, sekiranya terdapat isu kecemasan mahupun urusan rasmi – kemasukan tersebut akan dibenarkan.
Bagaimanapun ia perlulah melalui Jabatan Imigresen negara.
Seperti yang umum ketahui, semalam pihak keselamatan telah mengumumkan sekatan kemasukan ke atas tiga negara iaitu Indonesia, India dan Filipina.
Ini kerana kadar kes positif COVID-19 di negara terbabit meningkat dengan mendadak, ia amat berisiko buat rakyat Malaysia. Maka tindakan larangan perlu dilakukan.
Seterusnya, tindakan sekatan ini tidak hanya tertakluk kepada kemasukan pelancong luar sahaja namun turut merangkumi rakyat Malaysia yang bermastautin di negara luar.
Sekiranya, kumpulan tersebut ingin pulang – mereka perlulah menjalani prosedur kesihatan yang telah ditetapkan iaitu kuarantin selama 14 hari.