Artikel

Prestasi Peruncitan Jangka Terus Menguncup 9.3% Bagi Tahun 2020

Prestasi peruncitan negara kini mempamerkan penguncupan sebanyak 30.9%, bagi suku tahunan untuk April hingga Jun 2020.

Peniaga sebelum ini sekadar menjangkakan penyusutan jualan hanya akan mencapai sekitar 28.8% sahaja, namun ternyata penguncupan sektor ini jauh lebih teruk berbanding penguncupan KDNK negara pada paras 17.7%.

Antara faktor yang mendorong kepada penurunan catatan jualan adalah disebabkan penutupan sementara operasi premis perniagaan pada pertegahan Mac lalu. Maka tidak hairanlah, mengapa prestasi peruncitan mencatatkan angka terburuk.

Bagaimanapun, susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga akhir Disember 2020 – jualan runcit pada tahun ini dijangka akan menguncup sekitar 9.3%, iaitu lebih tinggi berbanding unjuran sebelum ini iaitu 8.7%

Menurut laporan Industri Runcit Malaysia yang dilaksanakan oleh retail Group Malaysia (RGM) dan Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) ini, prestasi jualan runcit ketika ini adalah yang terburuk sejak 1987.

Sektor ini dijangka akan mengalami tempoh pemulihan yang lebih lama susulan kesemua premis sedang menyeimbang kedudukan kewangan operasi masing-masing.

Setakat ini, sub sektor yang paling terjejas adalah kategori kedai serbaneka, pusat membeli-belah (62.3%) dan diikuti dengan kemerosotan pada jualan aksesori fesyen iaitu 44.2%.